Pembukaan VTL udara, darat perlu serentak

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KERAJAAN Johor berharap pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura dapat dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara antara Changi dan Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula pada 29 November ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses pembukaan sempadan darat itu berjalan lancar.

“Selepas kenyataan berhubung VTL udara itu dikeluarkan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, maka kita telah menyuarakan hasrat kepada kementerian berkaitan agar kalau boleh dapat disekalikan dengan VTL melalui jalan darat.

“Mungkin jumlah yang dibenarkan tidak besar seperti yang diharapkan, antara 300 hingga 500 sehari tetapi ia adalah satu permulaan kepada pembukaan semula sempadan kedua-dua negara sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi PRE-Ihsan Johor 3.0 2021 kepada Petugas Info On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Johor dan Pengamal Media Johor di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru, semalam.

Malaysia dan Singapura bakal melancarkan VTL bagi pengembara lengkap vaksinasi antara kedua-dua negara menggunakan pengangkutan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambah Hasni, pihaknya turut mencadangkan agar pengangkutan yang digunakan untuk VTL darat menggunakan perkhidmatan bas awam di mana ia dapat dilaksana secara terkawal dan mengikut masa ditetapkan, sama seperti masa tiket penerbangan.

Ujar beliau, pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan Pusat untuk membina sebuah lagi Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) di Tambak Johor, sebagai tambahan kepada kemudahan yang sedang dibina di Laluan Linkedua.

“Saya dimaklumkan pembinaan BTC di Linkedua itu melibatkan kos sebanyak RM10 juta yang bertujuan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dan penyediaan ruangan istirehat kepada pengembara.

“Jadi untuk membolehkan lebih ramai pengguna berulang alik antara kedua-dua negara, kerajaan negeri bersedia untuk menampung separuh daripada kos pembinaan sebuah lagi BTC di Tambak Johor.

“Kita juga telah memohon kepada Jabatan Imigresen agar BTC itu beroperasi selama 24 jam bagi membolehkan lebih ramai pihak melakukan perjalanan antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap perkara tersebut akan dipertimbangkan kedua-dua negara bagi membolehkan sektor ekonomi khususnya di negeri ini kembali pulih pada kadar segera. – SB