
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.
Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin politik supaya menunjukkan kepimpinan melalui teladan agar rakyat turut mematuhi SOP yang dikeluarkan.
“Secara keseluruhan, KKM melihat pematuhan SOP adalah baik namun malangnya ada juga yang tidak patuh seperti pemimpin dan ahli politik. Sepatutnya mereka (pemimpin dan ahli politik) menunjukkan teladan yang baik.
“Sepatutnya mereka ini lebih memahami dan mungkin apabila ke lapangan, minta kurangkan pegawai pengiring. Apabila terlalu ramai orang yang mengiring seseorang pemimpin itu, susah untuk menjaga jarak fizikal,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.