Kedah peruntuk RM2.07 juta baiki kerosakan infra akibat banjir

Oleh RIZQI ZABIDI

PERUNTUKAN sebanyak RM2.07 juta diluluskan kerajaan negeri bagi memperbaiki kerosakan infrastruktur yang terjejas dalam kejadian banjir di Kedah, kebelakangan ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, peruntukan tersebut antaranya akan digunakan bagi memberbaiki jambatan serta jalan-jalan yang rosak.

“Peruntukan ini diluluskan dalam Mesyuarat Exco semalam bagi memperbaiki infrastruktur yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Setakat ini beberapa kawasan masih dilanda banjir. Selepas ini, pemantauan akan dilakukan pula di kawasan-kawasan tersebut selepas banjir surut sepenuhnya,” katanya selepas merasmikan Program Executive Talk Perundangan Perancangan Bersama Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan 2021 di Hotel Raia, Alor Setar, hari ini.

Ditanya mengenai kejadian banjir di Pendang yang masih belum surut selepas hampir tiga minggu, Muhammad Sanusi berkata, keadaan itu turut terkait dengan fenomena air pasang besar baru-baru ini yang menyebabkan banjir tersebut lambat surut.

“Selain itu, ia mungkin juga disebabkan kesan rancangan tebatan banjir (RTB yang masih belum siap sepenuhnya. Disebabkan itu, kita mengharapkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tampil dengan cadangan bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan yang timbul kononnya kejadian kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang dekat Jitra baru-baru ini berpunca daripada kegiatan pembalakan.

“Tiada pembalakan di situ, semua yang berlaku di Bukit Wang akibat hujan lebat,” katanya. – SB