POLIS berjaya menahan dua lagi tahanan yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kimanis, Sabah, hari ini.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan setakat ini berjumlah sembilan orang.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintenden Batholomew Ak Umpit berkata, lima lagi PATI masih diburu dikenali sebagai Nadzwin Usma, 24; Herman Bilau dan Tuliang Maddalani masing-masing berusia 35 tahun; Pertama Lapanji, 40, serta Husin Japar, 43.
“Menurut maklumat awam, Pertama dan Tuliang berjaya dikesan namun mereka bertindak melarikan diri dengan berenang ke laut.
“Kita percaya mereka masih berada dalam kawasan Papar dan kawasan pencarian juga masih berada di dalam daerah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 dan 088-916064 (Hotline).
Media semalam melaporkan, seramai 14 PATI warga Filipina bertindak melarikan diri kira-kira jam 3.30 pagi dengan memanjat bumbung tandas dan memotong pagar depoh berkenaan.
Bagaimanapun, tujuh daripadanya berjaya ditahan semula seawal pukul 5 pagi sehingga pukul 10.45 pagi kira-kira dua kilometer dari depoh berkenaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.