27 kru selamat selepas tiga bot barter trade karam, hampir tenggelam

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 27 kru terselamat selepas dua buah bot barter trade yang dinaiki karam manakala satu lagi hampir tenggelam disebabkan cuaca buruk di tiga lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Pisang, Batu Pahat, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Batu Pahat menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kejadian tersebut daripada sebuah syarikat kalal pada pukul 11 pagi.

“MRSC Johor Bahru menerima panggilan daripada ejen bot barter trade terbabit yang memaklumkan tiga buah bot barter trade syarikatnya iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3 telah mengalami kecemasan di laut.

“Susulan itu pihak maritim mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.30 pagi bagi menjejaki tiga buah bot barter trade itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pada pukul 12.27 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada pihak ejen kapal itu yang memaklumkan KLM Budiman telah dijumpai dan hampir tenggelam pada kedudukan 8.1 batu nautika Tanjung Laboh.

Jelasnya, bot barter trade itu ditemukan sebuah kapal kargo yang berada berhampiran dan kesemua 10 kru warga Indonesia tersebut dilaporkan selamat.

Beliau berkata, sekitar pukul 12.57 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima pula maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai penemuan tujuh kru KLM Alam Makmur oleh sebuah kapal pasir pada kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

“KLM Alam Makmur dilaporkan telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya dan disyaki akibat cuaca buruk,” katanya.

Sementara pada pukul 3.45 petang katanya, MRSC Johor Bahru menerima maklumat mengenai 10 kru KLM Firman Jaya 3 telah diselamatkan oleh sebuah bot barter trade berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.

“KLM Firman Jaya 3 juga telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya berikutan cuaca buruk,” ujarnya.

Tiga buah bot barter iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3 telah mengalami kecemasan di laut

Kesemua 27 kru tiga bot barter trade itu katanya, telah berjaya diselamatkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 5.30 petang semalam dan maritim Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap semua agensi serta komuniti yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa. – SB