BILA sudah sayang, apa sahaja yang dibuat oleh pasangan sudah tentu tiada salah di mata kita. Begitu jugalah dengan satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang suami bergurau memarahi tembok jalan yang dilanggar oleh isterinya.
Menerusi video 52 saat itu, si suami dengan nada bergurau memarahi tembok berkenaan seolah-olah tembok itu yang menganggu laluan ketika isterinya memandu.
Difahamkan, isteri kepada lelaki berkenaan melanggar tembok yang terletak di hadapan kediaman mereka dengan sebuah kereta jenis Mercedes A Class berwarna putih sehingga terdapat kesan kemik yang jelas pada pintu tempat duduk penumpang.
“Sayang tak salah, tembok tu yang salah. Sekejap lagi, saya pergi belasah tembok tu. Perempuan tak pernah salah, perempuan selalu betul, tembok tu kenapa dia ada di situ,” seloroh si suami.
Isterinya yang turut sama bergurau juga tidak mengakui kesalahannya dengan mengatakan tembok tersebut yang salah kerana dibina di situ.
Lebih melucukan apabila si suami turut ‘membelasah’ tembok berkenaan kononnya ingin melepaskan rasa marah dengan memukulnya menggunakan selipar yang dipakai, diselangi dengan hilai tawa isterinya.
Rata-rata netizen terhibur dengan video pendek berkenaan dan turut sama menyokong gurauan si suami dalam video berkenaan.
“Ini bukan tembok je yang salah, yang buat tembok pun salah. Apasal terjojol keluar macamtu? Tak pandai buat tembok ni,” tulis seorang pengguna Facebook, Nurul Izzah dalam ruangan komen.
“Dah salah diam pulak nampak sangat tembok tu takut. Takut tanda apa tuan tuan? Ya betol tanda salah Memang patut kena hempuk dengan selipar,” seloroh seorang lagi pengguna, Ahmad Asri.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.