[VIDEO] Punca sebenar DAP takut Pas

“APA nak takut sangat dengan Pas ni, baru ada 18 kerusi parlimen, tiga menteri besar, tiga orang menteri baru dan lima timbalan menteri,” kata Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad. 

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang beranggapan Pas sebagai parti yang paling bahaya dalam Perikatan Nasional (PN). 

Menurutnya, Pas tidak berbahaya dalam PN, tetapi dianggap diberi tanggapan begitu oleh DAP kerana boleh menghalang parti itu untuk menguasai negara. 

Sedangkan, katanya apa yang lebih penting ialah DAP sebenarnya tidak mampu menggugat Pas kerana parti Islam itu mempunyai prinsip yang tidak boleh diperkotak-katikkan. 

Selain itu, DAP juga akur dengan peranan  Pas sebagai mediator kepada penyatuan parti-parti politik Melayu-Islam di Malaysia. 

“Pas telah membuat satu persetujuan “No DAP No Anwar” dan persidangan Agong UMNO turut berbuat keputusan yang sama menyebabkan mana-mana parti yang ingin berkerjasama dengan DAP akan ditolak oleh rakyat dan ahli mereka,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan di platform media sosial Pas. 

Penjelasan itu adalah sebahagian daripada kempen secara maya Pas bagi membantu jentera pilihanraya PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini. – SB