Bukan semua pesakit mental dahagakan perhatian- Karl Shafek

ISU kesihatan mental melibatkan artis bukan lagi sesuatu yang taboo dalam masyarakat. Kebanyakan mereka yang berhadapan dengan masalah ini pastinya memerlukan sokongan semua pihak untuk sama-sama bangkit meneruskan kehidupan sedara normal.

Karl Shafek antara pengacara dan selebriti yang berani mengaku menghadapi masalah mental dan depresi sebelum ini.

Tanggapan buruk mengatakan mereka ini sukar sembuh ditolak ke tepi memandangnya dia telah membuktikan mampu bangkit sehari demi sehari sejak dua tahun yang lalu.

“Dahulu saya pernah mahu mengakhiri rasa sakit tapi bukanlah mahu membunuh diri. Saya pernah memandu kereta tanpa sedar dan menyimbah petrol di badan.

“Tidak ada siapa yang tahu masalah ini selain orang terdekat dan keluarga sahaja. Tapi sekarang saya bersyukur kerana tidak lagi mengalami masalah pelik seperti dulu,” katanya tersenyum.

Tambahnya lagi, jika sebelum ini dia banyak menyendiri, kini tidak lagi. Doktor yang merawatnya juga ada memberinya kebenaran untuk bercerita hal yang pernah dialami setelah melihat keadaan dirinya yang semakin baik.

Meskipun ada tanggapan yang mengatakan kebanyakan pesakit mental dahagakan perhatian, dia bagaimanapun menolak hal berkenaan

“Tidak semua pesakit mahukan perhatian tapi ada juga yang mengaku mengalami masalah tersebut untuk menarik perhatian orang sekeliling. Terpulang kepada mereka tetapi jangan menilai semua pesakit sama.

“Untuk mereka yang sedang bertarung dengan masalah ini, semoga cepat pulih. Saya pernah berhadapan dengannya dan tahu apa perasaan mereka,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja tamat pertunjukan fesyen jenama Neonate Clothing sempena KL Fesyen Week 2021 baru-baru ini.

Tambah anak kelahiran Pekan, Pahang ini lagi, keadaan dirinya semakin pulih dari sehari ke sehari namun masih mengambil ubat dan mengikuti sesi kaunseling yang ditetapkan oleh doktor.