WALAUPUN dilihat berdepan nama besar dalam persaingan merebut kerusi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, namun calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Al Afiz Yahya, beranggapan semua calon mempunyai peluang untuk menang.
Muhammad Al Afiz, yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka berkata, apa yang lebih penting ialah membawa agenda perubahan untuk Melaka melalui sistem pentadbiran yang bersih.
“PN akan memastikan kempen mereka telus, bersih, dan tiada serangan peribadi terhadap calon lawan,” katanya.
Perebutan kerusi DUN Bukit Katil menyaksikan pertembungan empat penjuru termasuk mantan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari (Pakatan Harapan); Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasnoor Husin dan calon Bebas, Abdul Hamid Mustapah dari NGO Gerakan Piagam Rakyat.
Sebelum ini, Hasnoor dilaporkan berkata, walaupun ia membabitkan saingan empat penjuru, tetapi beliau beranggapan saingan itu lebih kepada perebutan antara BN dan PH. Ia sekaligus memperkecilkan saingan PN dan calon Bebas.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya itu secara sinis berkata, Muhammad Al Afiz hanya sekadar bergantung undi Melayu, dan tidak akan mendapat lebih daripada itu.
Namun, Muhammad Al Afiz tetap tenang, bahkan menegaskan beliau langsung tidak mahu menyentuh keperibadian calon lain kerana semua calon wajar dihormati.
“Kita tak mahu mencari salah dan silap orang, tetapi kita mahu bawa perubahan untuk Melaka. Tak akan ada serangan peribadi dan sebagainya,” kata Muhammad Al Afiz.
“Pemuda Pas mahu membawa suara yang telus, bersih, di samping memastikan budaya baharu politik negara ini,” katanya lagi – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.