Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Masih ada yang ingkar arahan SOP hari pencalonan PRN Melaka -

Masih ada yang ingkar arahan SOP hari pencalonan PRN Melaka

BATU yang dititik air melekuk, manusia yang dititip nasihat makin teruk.

Itulah perumpamaan yang paling sesuai untuk menggambarkan kedegilan sesetengah pihak melanggar dengan sengaja larangan berkumpul dan berarak pada hari pencalonan pilihan Raya negeri Melaka hari ini.

Arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu bagaikan mencurah air di daun keladi tidak lekat walau setitik pun.

Masih ada penyokong yang dikesan melanggar arahan tersebut pada hari penamaan calon hari ini.

Umpamanya di luar pekarangan pusat penamaan calon Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas, sekumpulan individu memakai kemeja-T berwarna merah dilihat berarak mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Rais Mukhlis Azman Aziz berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

AB RAUF Yusoh (tengah) dan penyokong BN tiba di pusat penamaan calon di Tanjung Bidara

“Kita dapati terdapat kehadiran kira-kira 25 penyokong daripada PH mengiringi calon ke pusat penamaan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

“Berikutan itu, Pasukan Cantas Khas bertindak menyuraikan kumpulan itu sebelum semua beredar dan berada di luar kawasan PPC,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal berita BH.

Rais Mukhlis berkata, polis akan mengenal pasti individu yang terbabit sebelum siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, di pusat penamaan calon DUN Tanjung Bidara pula kira-kira 50 penyokong dikesan berarak mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mereka, menurut laporan Malay Mail, hanya bersurai setelah diarahkan polis berbuat demikian.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Beliau dengan jelas menyatakan, penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.

Malangnya, peringatan yang dikeluarkan oleh SPR itu seperti tidak diendahkan oleh para penyokong calon-calon berkenaan.

Maka, sewajarnya tindakan tegas diambil terhadap mereka agar insiden yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 itu tidak berulang.

Kita tidak mahu mereka menunjukkan sikap keras kepala tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Jika tindakan tegas tidak diambil, kita bimbang mereka akan mengulangi perangai yang sama pada hari pengundian 20 November ini. – SB