CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan komitmen pihaknya untuk membela nasib kira-kira 10,000 pengundi di kawasan itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menegaskan, peluang sama rata tersedia untuk ketiga-tiga calon meskipun kerusi itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
“Bergantung kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai rekod saya sebagai ahli Parlimen dan bagaimana khidmat saya,” katanya pada sidang media selepas tamat masa pencalonan hari ini.
Mas Ermieyati yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata pilihan raya kali ini merupakan peluang untuk beliau mengembalikan kepercayaan kepada pengundi selepas memenangi kerusi Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 atas tiket BN.
“Biarlah rakyat yang tentukan. Ada yang mengundi berdasarkan calon, parti atau kelayakan.
“Apa yang saya tawarkan ialah komitmen dan prestasi saya,” katanya.
Ditanya mengenai cakap-cakap bahawa beliau merupakan calon ketua menteri PN, katanya beliau hanya calon biasa tiada perbincangan mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, katanya kekangan prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh kempen dijangka menjadi cabaran kepada calon baru dan memberi kelebihan kepada mereka yang pernah bertanding.
Sebagai rekod, lawan utama beliau iaitu calon BN, Datuk Ab Rauf Yusoh tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Mas Ermieyati, Rauf dan Zainal Hassan yang mewakili Pakatan Harapan akan berentap untuk menjadi wakil rakyat kerusi itu.
Beliau berkata, penggunaan media sosial akan diperkasakan oleh jenteranya berikutan kekangan SOP pilihan raya.
“Pastinya dari segi peratusan anak muda (tinggi) dalam penggunaan media sosial. Namun kita tak boleh menidakkan golongan berusia. Mereka juga ada Facebook, Instagram dan TikTok,” ujarnya.
Antara SOP yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya termasuklah larangan ceramah secara fizikal, aktiviti walkabout dan ziarah rumah ke rumah. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.