Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN Melaka kayu ukur hala tuju Pas-PN dalam PRU15 - Tuan Ibrahim -

PRN Melaka kayu ukur hala tuju Pas-PN dalam PRU15 – Tuan Ibrahim

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini akan menjadi kayu ukur penentu hala tuju parti Pas bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, PRN Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu, amat penting dalam menentukan perancangan dan masa depan Pas bersama perikatan berkenaan.

“Pas akan perkasakan kekuatan parti bersama-sama dengan PN sebab parti ini adalah komponen dalam gagasan itu.

“Keputusan PRN Melaka akan jadi sebahagian perancangan PAS pada masa depan dan saya fikir ramai yang nak tengok keputusan PRN Melaka sebagai petunjuk (kerjasama pada PRU-15),” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Ke-67 di Kuala Terengganu, Terengganu pada Ahad.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, semua calon Pas yang bertanding pada PRN Melaka 20 November ini perlu mengambil sumpah baiah seperti mana calon-calon Pas pada pilihan raya terdahulu.
 
Tuan Ibrahim berkata, ia bagi memastikan semua calonnya tidak mengkhianati parti selepas menang pilihan raya atas sokongan dan tiket Pas.

“Pas konsisten menentang agenda lompat parti jika menang, tidak seperti PH yang kononnya menentang agenda itu tetapi tiba-tiba di Melaka mereka terima orang yang lompat parti.

“Yang timbulkan masalah di Melaka sekarang ialah mereka yang lompat parti, jadi rakyat Melaka bolehlah menilai orang yang buat masalah pada rakyat tiba-tiba diterima jadi calon dalam pilihan raya,” katanya yang bertegas akan tetap meneruskan kerjasama dengan UMNO menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).

Pas bakal bertanding di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau. – Bernama