
PAS tiada pilihan dan terpaksa akur menentang Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 Nov ini.
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata meskipun berasa sedikit kecewa namun pertembungan tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan UMNO, rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) itu memutuskan untuk meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sebenarnya perbincangan ini (pembahagian kerusi) mengambil masa yang panjang bahkan saya boleh sebut insiatif yang dibuat semua pihak sangat positif di peringkat awal, tetapi pada hujungnya tiba-tiba diumum UMNO hendak bertanding semua. Kita sedikit rasa kecewa (kerana) usaha penyatuan itu gagal pada hujungnya.
“Kalau sekiranya dapat kita runding ada kerusi yang UMNO tidak bertanding maka mungkin tidak berlaku pertembungan. Bila UMNO isytihar hendak bertanding 28 kerusi maka tidak ada pilihan kita hadapi bersama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di sini hari ini.
Ditanya sama ada situasi ini menjejaskan MN, beliau berkata gagasan yang belum berdaftar sebagai parti politik itu merupakan satu medan penyatuan ummah yang besar dan bukan sekadar pilihan raya sahaja.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim menegaskan ‘ketegangan’ yang berlaku pada PRN Melaka ini tidak menggambarkan situasi yang akan berlaku pada masa hadapan termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan PAS sentiasa bersedia berbincang dengan semua pihak termasuk UMNO.
Dalam pada itu beliau berkata pengumuman PN yang menyaksikan PAS bertanding di lapan kerusi telah dirunding di peringkat awal dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti.
“Walaupun jumlah kerusi itu (bertanding mengikut kerusi) masing-masing, tetapi kami akan duduk sebagai satu pasukan bersama atas tiket PN bukan parti masing-masing,” katanya.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka dan daripada jumlah berkenaan Bersatu akan bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan serta Gerakan lima.
BN pula akan bertanding dengan pembahagian sebanyak 20 kerusi kepada UMNO, tujuh MCA dan satu MIC pada PRN berkenaan. – BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.