DUA lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah, menjadikan 12 PPS yang beroperasi setakat 8 pagi tadi bagi menempatkan 840 mangsa banjir daripada 227 keluarga di lima daerah di Kedah.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, dua PPS di daerah Sik itu melibatkan Sekolah Kebangsaan
Sik yang menempatkan dua orang daripada satu keluarga dan SK Chepir dengan lima mangsa daripada satu keluarga.
Menurut beliau, 543 orang ditempatkan di enam PPS di daerah Kota Setar, 281 orang di dua PPS di daerah Pendang, lima mangsa di sebuah PPS di daerah Kubang Pasu dan empat mangsa di sebuah PPS di daerah Pokok Sena.
Di Perak, 72 orang daripada 22 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Panchor, Beruas di daerah Manjung yang dibuka sejak Jumaat selepas kediaman mereka dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.
Bagaimanapum, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata fenomena air pasang besar berlaku kira-kira 4.30 pagi tadi menyebabkan air melimpah di beberapa kawasan pesisir Sungai Perak di Teluk Intan.
Menurutnya tiada mangsa yang dipindahkan dan air telah mulai surut selepas 7 pagi tadi.
Di Selangor, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pemantauan terhadap fenomena air pasang besar dilakukan antara 6.15 hingga 8 pagi tadi di beberapa kawasan termasuk Bagan Pasir, Pantai Sungai Kajang, Pekan Tanjong Karang, Pantai Remis dan Pantai Jeram.
“Terdapat limpahan air laut tetapi keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa. Air mulai surut pada 7.40 pagi dan cuaca cerah,” katanya dalam kenyataan.
Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata PPS Balai Raya Kampung Muhibbah, Kota Tinggi yang dibuka dua hari lepas bagi menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga ditutup pada 9 pagi berikutan paras air surut sepenuhnya dan keadaan cuaca bertambah baik.
Pada 5 Nov, hujan lebat melebihi dua jam dan pertembungan air pasang di daerah itu telah menyebabkan kediaman penduduk di Kampung Baru Sungai Mas dan Kampung Muhibbah dinaiki air, sekali gus memaksa mereka mendapatkan perlindungan di dua PPS.
PPS Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, yang menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga ditutup sepenuhnya 6 petang semalam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.