Bulan Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia

BULAN Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia (BKM) mulai tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sambutan itu yang diraikan pada bulan November akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia.

“Ini sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Sambutan BKM 2020 di Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur pada Ahad.

Sambutan itu merupakan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN).

Ismail Sabri berkata, penganjuran program melibatkan sambutan itu boleh dilakukan pada peringkat kebangsaan dengan kerjasama agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Selain penyertaan kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, beliau berharap pihak-pihak seperti sektor swasta dan komuniti turut mengambil bahagian dalam program kesejahteraan keluarga itu.

Ismail Sabri sebelum ini telah melancarkan konsep Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri kesembilan itu menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik menerajui tampuk kerajaan pada 22 Ogos lepas. – Bernama