Rakaman bungkusan makanan diselit RM50, polis buka kertas siasatan

POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung gambar tular memaparkan bungkusan makanan diselit wang RM50, didakwa berunsurkan politik bertujuan meraih undi menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Azlan Abu berkata, gambar terbabit dimuat naik, sebelum tular sejak semalam yang didakwa berlaku di Melaka.

“Gambar tersebut dimuat naik oleh beberapa akaun Facebook yang menunjukkan terdapat bungkusan makanan bersama duit RM50.

“Turut disertakan kapsyen gambar yang menyatakan kejadian itu berlaku di Melaka dan komen-komen mendakwa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi,” katanya menurut laporan Kosmo.

Azlan berkata, susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, hasil semakan mendapati ada satu klip video berhubung kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada warga emas.

“Bagaimanapun, menerusi klip tersebut kita tidak mengesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik,” katanya.

Tambahnya, sejak 25 Okt lalu sehingga semalam, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka dan lima kompaun pelanggaran prosedur operasi standard dikeluarkan membabitkan PRN Melaka.