Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lima negeri beralih ke Fasa Empat PPN Isnin depan -

Lima negeri beralih ke Fasa Empat PPN Isnin depan

PERLIS, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah bakal beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 8 November ini, kata  Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi kelima-lima negeri selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 
“SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” menurutnya dalam kenyataan mengenai peralihan fasa PPN dan kelonggaran SOP.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, anak-anak kapal di bawah pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin semasa persinggahan di Pelabuhan Klang tertakluk kepada kelulusan KKM, Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen. 

Katanya urusan penerimaan suntikan vaksin wajar dilaksanakan di atas kapal bagi mengelak pergerakan berskala besar anak-anak kapal ke klinik atau fasiliti perubatan. 

Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan Klang telah diminta mengemukakan keperluan maklumat lanjut seperti penganjur, bilangan anak kapal yang terlibat dan hal lain yang berkaitan bagi program vaksinasi untuk anak-anak kapal di Pelabuhan Klang.

Hishammuddin juga berkata, berkuat kuasa 8 November ini juga, individu lengkap vaksin bagi semua peringkat umur dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan syarat ini dimasukkan dalam SOP.

Katanya, kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang belum atau tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan ketika ini, aktiviti makan serta minum di dalam stadium juga adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini turut meluluskan pelaksanaan peralihan pengurusan Stesen Kuarantin Hotel kepada Stesen Kuarantin Swasta bermula tujuh hari selepas kelulusan.  
Menurut Hishammuddin, pengurusan stesen kuarantin adalah berdasarkan Garis Panduan Pembukaan, Pengoperasian dan Pemantauan Stesen Kuarantin Swasta yang telah disediakan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). 

“Kutipan kos operasi COVID-19 berjumlah RM2,600 bagi setiap pengembara bukan warganegara dimansuhkan manakala caj bagi stesen kuarantin masih berkuat kuasa dan caj yang dikenakan stesen kuarantin swasta adalah pada kadar yang sama (pakej standard) seperti sebelum ini yang berkuat kuasa pada 15 November 2021,” katanya. 

Beliau berkata, kos kuarantin bagi tujuh kumpulan warganegara Malaysia yang dikecualikan caj kuarantin ditanggung oleh kerajaan dan ujian ulangan saringan pengesanan COVID19 diselaraskan oleh KKM menerusi Jabatan Kesihatan Negeri/Daerah yang berkaitan.

Hishammuddin turut menyeru agar semua kelonggaran yang diberikan dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

Katanya paling penting dalam membantu usaha kerajaan #ReopeningSafely, semua pihak amat digalakkan untuk mengamalkan TRIIS iaitu ‘test, report, isolate, inform and seek’ atau ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera dengan sebaik mungkin demi keselamatan diri, ahli keluarga dan orang sekeliling. – Bernama