Kaji pembangunan semula Kampung Baru Karak secara holistik – Agong

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat menitahkan supaya satu kajian pembangunan semula Kampung Baru Karak, di sini dilakukan secara holistik dengan mengutamakan ciri keselamatan.

Baginda bertitah, dengan kajian menyeluruh dapat membangunkan semula penempatan itu dengan lebih selesa kepada penduduk kampung berkenaan pada masa hadapan. 

“Kalau boleh, kaji seluruh kawasan ini terutama dari segi keselamatan dengan ambil kira beberapa aspek antaranya kedudukan rumah, elektik dan sistem air.

KESAN kebakaran yang memusnah, 51 kediaman dan lapan buah kedai di Kampung Baru Karak, pada 1 Oktober lepas. – FOTO Ihsan Pembaca

“Saya juga berharap mangsa kebakaran tabah dan bangkit semula meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran terutama ketika pandemik COVID-19 ini,” titah baginda ketika mencemar duli melawat lokasi kebakaran di Kampung Baru Karak, di sini hari ini. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
 
Seri Paduka yang juga Sultan Pahang turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba, polis dan semua pihak yang terlibat membantu mangsa kebakaran dalam kejadian 9 malam yang mengakibatkan 51 rumah dan lapan unit kedai musnah pada 1 Oktober lepas. 

Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

Terdahulu, ketibaan baginda berdua pada 10.15 pagi di lokasi kebakaran itu disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf. 

Sejurus tiba, Seri Paduka berdua dipersembahkan taklimat oleh Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hashim sebelum menyantuni mangsa kebakaran di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baru Karak, di sini. 

Baginda berdua turut dipersembahkan taklimat cadangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak yang juga bekas Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, syarikat dan individu perseorangan kepada mangsa kebakaran. – Bernama