KEADAAN paras air laut lebih tinggi berbanding semalam susulan fenomena air pasang besar, namun cuaca kekal baik tanpa hujan dan angin di Jeti Pulau Ketam, di sini.
Ketua Zon Bomba Klang, Hussin Ab Rahman, berkata berdasarkan pemantauan yang bermula 6 pagi tadi, keadaan air di sekitar jeti melebihi paras ketinggian semalam.
Baca berita berkaitan: Monsun Timur Laut mula Rabu ini hingga Mac tahun depan
“Kalau diikutkan jadual yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi, sepatutnya hari ini 5.6 meter tetapi berdasarkan pemantauan, kemungkinan melebihi paras itu, tetapi masih terkawal kerana tiada hujan juga angin.
“Dalam keadaan biasa, kira-kira setengah jam limpahan air ini berada dalam keadaan statik sebelum kembali surut,” katanya kepada BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat pemantauan bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang pagi tadi.
Sepanjang pemantauan itu katanya, terdapat kenderaan orang awam yang diparkir berhampiran jeti ditenggelami limpahan air berkenaan hingga paras lutut.
“Kenderaan yang di parkir di sini, ada dua kemungkinan sama ada pemilik biasa situasi begini di sini, dia tahu air tidak akan naik tinggi. Kedua, mungkin orang luar tidak biasa tempat ini, jadi mereka letak kenderaan di sini untuk ke Pulau Ketam.
“Selama tempoh ini hingga 7 November, saya nasihatkan orang ramai yang hendak ke Pulau Ketam dan sebagainya, parkir di tempat lebih selamat bagi mengelakkan kerosakan sekiranya ditenggelami air.
“Elakkan diparkir berhampiran jeti, selain boleh tenggelam ketika air pasang besar berlaku, ia akan menyusahkan pihak lain untuk menyelamatkan kenderaan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, anggotanya bertugas memantau paras air seperti di Sungai Keramat dan Jeti Pangkalan Tok Muda turut memaklumkan keadaan masih terkawal.
“Di kawasan sana juga terkawal, walaupun ada sedikit limpahan tetapi tidak membahayakan kawasan penduduk.
“Mengikut bacaan esok juga dijangka paras air seperti hari ini, 5.6 meter tetapi segalanya bergantung kepada cuaca namun kita sentiasa mengharapkan yang baik,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.