DUN Sarawak bubar secara rasmi berkuat kuasa 3 November

DEWAN Undangan Negeri Sarawak telah bubar secara rasmi berkuat kuasa 3 November 2021.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika pada sidang media khas pagi Jumaat di Bilik Mesyuarat Utama, tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia (WBM).

Hadir sama ialah barisan pemimpin utama daripada setiap komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), antaranya Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

embubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermakna pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 negeri itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

Bagaimanapun, tiada tarikh dinyatakan bagi menandakan berakhirnya Proklamasi Darurat berkenaan.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong. – SB