Agong, Permaisuri ucap takziah buat keluarga Kasmah, Zaleha

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dua bekas atlet negara, Kasmah Darus dan Zaleha Suradi yang meninggal duni semalam.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian kedua-dua Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarhamah Kasmah dan Zaleha yang masing-masing merupakan bekas pemain bola sepak wanita dan atlet silat negara itu dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan kedua-dua Allahyarhamah kepada negara.

Allahyarhamah Kasmah berasal dari Tambun, Perak cukup terkenal sebagai pemain sayap kanan pasukan bola sepak wanita kebangsaan semasa era 70-an dan 80-an, terutama pada pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah yang setaraf Piala Malaysia.

Kehebatan Allahyarhamah bersama pasukan Selangor dan Perak pada ketika itu turut membawanya menyarung jersi Malaysia dalam Kejohanan Wanita Asia anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Allahyarmah turut mewakili skuad wanita kebangsaan pada Kejohanan Wanita Asia Ketiga di Calicut, Kerala, India pada tahun 1980 dengan menduduki tempat kelima dalam liga pusingan awal.

Manakala Allahyarhamah Zaleha pada zaman kegemilangannya pernah digelar ‘dwi antarabangsa’ (double international) kerana mewakili negara dalam dua sukan iaitu bola sepak dan silat.

Allahyarhamah pernah menyarung jersi skuad bola sepak wanita negara pada Kejohanan Wanita Asia 1986 di Hong Kong.

Allahyarhamah juga pernah muncul naib juara kelas E (65 kilogram) Kejuaraan Silat Dunia di Belanda pada 1990.

Selain itu, Allahyarhamah pernah membawa pulang dua pingat gangsa daripada Kejuaraan Silat Dunia 1982 di Jakarta dan 1987 di Kuala Lumpur.

Allahyarhamah juga merupakan seorang yang aktif berpersatuan terutamanya bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan sentiasa melibatkan diri dalam program anjuran YAKEB. – SB