PAS guna lambang Perikatan Nasional di PRN Melaka

0
628

PAS membuat keputusan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus menolak syarat yang ditetapkan UMNO supaya parti itu menggunakan lambang parti sendiri.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, pada Isnin.

Beliau menambah, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada Ahad

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung hari ini di Pejabat Agung PAS Pusat sudah meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka.

“Ketetapan ini mengambil kira panduan diberikan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021 (semalam), selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Keputusan itu sekali gus mengundang tanda tanya berkenaan status persefahaman dengan UMNO yang mensyaratkan PAS menggunakan lambangnya sendiri di Melaka.

Kenyataan media Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan pada Isnin.

Semalam, Majlis Syura Ulama PAS yang terdiri daripada ulama kanan parti itu berkata pertandingan dua penjuru dalam PRN Melaka adalah bagi menafikan kemenangan PH.

Keputusan untuk bertanding di bawah PN dilihat satu lagi komitmen PAS dengan gabungan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri dan juga Presiden Bersatu yang digulingkan daripada tampuk pentadbiran pada Ogos lalu susulan pembelotan yang dirancang beberapa pemimpin tertinggi Umno.

PAS merupakan parti komponen gabungan PN, namun ia juga turut memeterai piagam kerjasama dengan UMNO ketika kedua-dua parti tersebut menjadi pembangkang sewaktu pentabiran PH di Putrajaya.

Keputusan hari ini juga timbul selepas empat hari kepimpinan UMNO berkata parti itu akan bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, namun memutuskan untuk bertembung dengan calon-calon dari Bersatu.

Selain itu, UMNO berkata kerjasama dengan PAS akan dilakukan dengan syarat parti Islam itu menggunakan logo sendiri dalam PRN Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here