MAFI laksana inisiatif rancakkan pengeluaran makanan

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 bagi merancakkan pengeluaran makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia termasuk pusat pengembangan akuakultur, pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) serta kajian-kajian berteraskan makanan alternatif ternakan dan makanan ruji.

“Pelaksanaan inisiatif ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dengan meningkatkan produktiviti sistem makanan melalui pengukuhan infrastruktur dan pemerkasaan pengeluar makanan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) yang ingin tahu bagaimana Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 yang akan dilancarkan dapat meningkatkan kedudukan Malaysia di dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, MAFI turut melaksanakan usaha berteraskan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber semula jadi bagi kesinambungan pengeluaran makanan untuk menjaga kawasan perlindungan marin dengan mewartakannya sebagai kawasan larangan menangkap ikan. 

Menurut Ronald, MAFI komited dalam memastikan pelaksanaan strategi yang dirangka menerusi Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 bertepatan dengan keperluan semasa sekuriti makanan negara termasuk senario, isu dan cabaran global. 

Beliau berkata, dimensi ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan dijadikan sebagai asas-asas pengukuran GFSI.

Saranan penambahbaikan yang dibangkitkan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) menerusi Laporan GFSI 2020 turut diambil kira dalam penyediaan PelanTindakan DSMN termasuk usaha menangani ketidakstabilan pengeluaran hasil pertanian, kebergantungan import makanan, kebergantungan ekonomi terhadap sumber semula jadi, akses kepada data mudah alih dan pembiayaan kewangan serta kemampanan sumber semula jadi. – Bernama