LESEN baharu perikanan kepada nelayan dikeluarkan berdasarkan kes setelah proses pemutihan dilakukan dari semasa ke semasa, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee.
Beliau berkata, ia termasuk mempertimbangkan daya tampungan atau ‘carrying capacity’ di sesuatu kawasan tangkapan ikan berbanding sumber perikanan sedia ada.
“Lesen perikanan untuk zon A, B dan C dibekukan sejak 1983 tetapi untuk lesen di Zon C2 ia masih terbuka dengan baki 995 daripada 2,069 kuota keseluruhan.
“Walaupun pengeluaran lesen baharu dibekukan, tetapi ia dikeluarkan kes mengikut kes dan setakat tahun lepas 6,628 lesen dikeluarkan di beberapa zon selepas proses pemutihan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) yang meminta MAFI menyatakan mengenai usaha kerajaan untuk menangani “penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal” serta mekanisme kerajaan untuk memproses permohonan lesen nelayan setelah sekian lama dibekukan.
Mengenai penguatkuasaan agensi kepada pencerobohan kapal nelayan asing, beliau berkata ia merupakan proses berterusan dan sepanjang tahun ini sebanyak 99 kapal nelayan asing ditahan di perairan negara. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.