PIHAK sekolah sekali lagi diingatkan agar memberi kelonggaran kepada pelajar yang hadir ke sekolah untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah, sebaliknya memadai memakai pakaian kemas dan sopan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu telahpun dinyatakan sebelum ini, namun masih terdapat rungutan daripada ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat untuk pelajar mengenakan pakaian seragam lengkap.
“Apabila sekolah mula dibuka mengikut ketetapan fasa di beberapa buah negeri seperti di Klang, Melaka, kita menerima aduan daripada ibu bapa yang menyatakan ada sekolah meminta supaya anak-anak memakai uniform sekolah walaupun ada uniform ketat, kasut dah ketat.
“Jadi saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa pihak kementerian sebelum ini telah nyatakan bahawa untuk tempoh sehingga akhir persekolahan tahun ini, kita benarkan murid-murid memakai pakaian yang bersesuaian serta sopan dan kemas, itu paling penting,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor di sini hari ini.
Beliau berkata pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran pelajar berikutan kekangan yang dihadapi ibu bapa susulan pembukaan sekolah di waktu pandemik COVID-19 terutamanya kepada keluarga yang kurang berkemampuan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.