PELAKON Yatt Hamzah yang sedang berada di Kota Madinah meluahkan rasa gembira apabila diberi peluang untuk membersihkan Masjid Nabawi yang merupakan tempat kedua paling suci bagi umat Islam selepas Masjidil Haram.
Menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah dilihat menggunakan alat pembersih hampagas (vakum) untuk membersihkan karpet dalam masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Nabi itu.
“Semalam lepas Asar, Bonda dapat peluang bersihkan Masjid Nabi SAW. Perasaannya luar biasa, MasyaAllah walaupun hanya sekejap,” tulisnya di Instagram beliau
Kata Yatt lagi, dia sudah lama berhajat untuk membantu pekerja-pekerja kebersihan di Masjid Nabawi, namun belum mempunyai rezeki untuk berbuat demikian.
“Memang dah lama teringin nak membantu pekerja-pekerja kebersihan dalam Masjid Nabawi sebab Bonda memang sangat suka membersihkan rumah. Tak suka nampak kotor.
“Alhamdulillah direzekikan dapat merasa jadi cleaner di Masjid Nabawi. Alhamdulillah,” katanya.
Selain itu, ibu kepada enam orang cahaya mata itu juga menyimpan impian untuk membawa keluarganya dan menetap di Madinah dan bersekolah serta membesar di sana.
“Ya Allah, aku teringin sangat membawa keluargaku untuk menetap di Madinah. Aku sangat teringin anak-anakku bersekolah di Madinah, membesar di Madinah dan aku amat teringin untuk mati di sini.
“Jika pada perkiraanMu, andai salah satu cara untuk berada di sini adalah dengan menjadi seorang pekerja pembersihan, aku amat berbesar hati Ya Allah. Aku amat berbangga andai dapat berkhidmat di sini buat Rasulullah SAW.” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.