DAYA tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera dipertingkatkan bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2025.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan Bumiputera turut memainkan peranan yang penting dalam aspek memacu ekonomi negara.
Menurutnya, pencapaian berkenaan akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu termasuk memastikan penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital.
“Saya berharap para usahawan Bumiputera dapat terus menyerlahkan potensi masing-masing tidak kira dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi.
“Manfaatkanlah segala peluang dan sumber yang ada untuk mengharumkan nama Malaysia bukan sahaja di pasaran tempatan, malahan di persada antarabangsa melalui pengeksportan produk tempatan,” katanya semasa merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan, Perasmian Produk Smart Bio Sureco dan Buletin Yayasan Penggerak Wawasan di Ayer Keroh D’Village Resort, Melaka, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohidden dan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Tambah beliau, kesungguhan dan komitmen semua pihak, usahawan tempatan khususnya Bumiputera mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan usahawan negara maju.
Menurutnya, kerjasama dan jaringan perniagaan perlu diperkukuhkan dalam kalangan peniaga tempatan dan Bumiputera bagi mewujudkan sebuah komuniti perniagaan yang berdaya saing dan saling melengkapi antara satu sama lain.
“Bagi menyokong agenda digitalisasi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan semasa pimpinan saya telah menyediakan pelbagai bantuan dan dana antaranya geran padanan sehingga RM5,000.
“Ia bagi pembelian sistem atau langganan platform digital selain kemudahan mikrokredit yang disediakan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank,” ujarnya.
Muhyiddin berharap semua dana berkenaan dapat memenuhi keperluan PKS dan PMKS dalam menggerakkan semula perniagaan masing-masing.
“Kini semakin banyak PMKS menjalankan perniagaan dalam talian yang memberi sumber pendapatan baharu dan peluang pekerjaan sekali gus menyumbang kepada ekonomi digital negara.
“Saya difahamkan dalam tempoh sebulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lepas, aktiviti perniagaan dalam talian telah meningkat 28.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pada 19 Februari lalu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya telah melancarkan MyDigital, yang merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia iaitu suatu blueprint atau pelan halatuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global.
“Di bawah inisiatif MyDigital, kerajaan menetapkan sasaran untuk memperkasa setiap rakyat Malaysia menerusi peningkatan literasi atau tahap celik digital, yang akan memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.
“Ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam ekonomi digital, memudahkan urusan perbankan dan kewangan tanpa tunai, menyediakan akses pendidikan secara maya serta kemudahan perubatan sehingga ke pekan terpencil,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.