Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 546 orang

0
476

JUMLAH mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 546 orang, membabitkan 160 keluarga yang dipindahkan ke 10 Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di empat daerah iaitu Pendang, Kota Setar, Baling dan Pokok Sena setakat jam 8 pagi ini.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di Kota Setar menunjukkan pertambahan seramai 46 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan, berbanding 20 mangsa daripada enam keluarga yang dilaporkan, jam 8 malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata, mangsa banjir di Pendang yang dipindahkan ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah turut meningkat.

“Malam tadi, ada 188 mangsa daripada 49 keluarga dan hari ini jumlah itu meningkat kepada 199 orang membabitkan 51 keluarga.

“PPS Surau Permatang, Pokok Sena kekal dengan 22 mangsa daripada lapan keluarga. PPS Masjid Sungai Durian di daerah sama ditutup sepenuhnya semalam, selepas semua mangsa dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Di Baling, tujuh PPS masih aktif iaitu SK Tanjung Pari yang menempatkan seramai 24 mangsa daripada lapan keluarga, PPS SK Siong (21 mangsa daripada lapan keluarga), PPS Banggol Deram (46 mangsa daripada 10 keluarga) dan SK Titi Gantung (14 mangsa daripada 4 mangsa).

Mohd Muaz berkata, PPS Tengku Putera di Baling pula mencatatkan mangsa seramai 26 orang daripada lapan keluarga, SK Pulai seramai 124 daripada 42 keluarga dan PPS Keda seramai 24 mangsa daripada 10 keluarga.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Baling masih kekal seramai 279 orang daripada 90 keluarga.

“Anggota APM di seluruh kawasan yang terjejas banjir di negeri ini sedang melakukan pemantauan paras air bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan memindahkan mereka jika perlu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here