IMPIAN untuk melihat kerjasama antara BERSATU, UMNO dan PAS bakal menjadi kenyataan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekaligus mengelak pertembungan tiga penjuru pada 20 November ini.
Keyakinan itu diluahkan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek yang menegaskan, beliau yakin dengan peranan yang dimainkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam menyelesaikan kemelut menjelang PRN Melaka.
Katanya, sebelum ini, PAS sentiasa cuba mengelak perkara itu berlaku kerana ia akan hanya merugikan masyarakat Melayu dan Islam.
“Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri (Ismail Sabri) itu kerana sememangnya ingin melihat penyatuan Melayu dan Islam itu bukan sekadar retorik.
“Jika semua pihak berusaha ke arah itu, Insya-Allah umat Melayu dan Islam mampu menjadi kesatuan yang kukuh dan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya, memetik laporan BH, hari ini.
Beliau berkata, komitmen Ismail Sabri bakal menjadikan hasrat PAS ingin melihat satu lawan satu antara Barisan Nasional/Perikatan Nasional (BN/PN) menentang Pakatan Harapan (PH) sebagai satu kenyataan.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, UMNO dan BN akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan BERSATU pada PRN Melaka.
Ketika ini, Ismail Sabri sedang berunding dengan PAS dan BERSATU bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri serta menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka, selaras mandat yang diberikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, perbincangan pembahagian kerusi antara PAS dengan BERSATU Melaka setakat ini mencapai 90 peratus dan bakal dimuktamadkan beberapa hari lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui belum ada lagi perbincangan secara formal antara PAS dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN Melaka.
“Sementara menunggu perbincangan secara formal dengan UMNO, PAS sudah menyusun strategi dan gerak kerja bagi memastikan jentera parti bersedia menghadapi PRN,” katanya.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mencadangkan PN menggunakan logo PAS pada PRN Melaka.
Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, berkata ia adalah pandangan peribadi Tuan Ibrahim, tetapi PN sudah mencapai kesepakatan untuk menggunakan hanya logo PN dalam PRN Melaka. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.