Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Bajet 2022: Intipati perbelanjaan -

[VIDEO] Bajet 2022: Intipati perbelanjaan

BAJET 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera mendokong tiga paksi utama iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion disediakan dalam Bajet 2022, tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.

Untuk lebih memahami belanjawan kali ini, berikut disediakan intipati Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada Jumaat.

Kerajaan pada belanjawan kali ini memperkenal skim Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) salur bantuan RM2,000 kepada isi rumah mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500.

Di bawah BKM kerajaan memberi bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan sehingga RM5,000.

Bantuan tambahan RM300 juga diberikan kepada warga emas menerusi BKM.

Kerajaan juga menaikkan syarat kelayakan kebajikan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169, berbanding RM980.

Selain itu, turut disediakan peruntukan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia untuk memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak.

Untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan awam, sebanyak RM32.4 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.

Bagi memantapkan lagi tujuan ini, kerajaan bercadang untuk memberi pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.

Untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan kesihatan yang baik, kerajaan juga bercadang meluaskan pengenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula, perluaskan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin.

Dalam masa sama, kerajaan bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi sehingga maksimum empat tahun selepas tempoh khidmat wajib dua tahun.

Kerajaan juga meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang memberi manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.

Selain itu, sejumlah RM70 juta diperuntukkan untuk pastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan.

Bagi memantapkan lagi sektor pendidikan, sejumlah RM52.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, manakala RM14.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam usaha ini juga, kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 yang dijangka bakal memanfaatkan 3 juta murid yang layak.

Sementara RM1 bilion juga telah disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah, termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Manakala RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan RM746 juta diperuntukkan untuk naik taraf sekolah-sekolah daif, sebilangan besar di Sabah (112 projek) dan Sarawak (165 projek).

Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta untuk memperkasa agenda pendidikan khas termasuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.

Dalam masa sama, kerajaan akan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukkan RM400 juta.

Untuk lebih 400,000 guru sekolah bawah Kementerian Pendidikan pula, mereka akan mendapat manfaat Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar sebanyak RM100.

Manakala setiap pelajar B40 di Institusi Pengajian Tinggi pula akan dibekalkan sebuah tablet menerusi inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia, libatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM450 juta.

Pelepasan khas cukai pendapatan individu hingga RM2,500 ke atas juga akan diberikan untuk pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet hingga 31 Disember 2022.

Diskaun bayaran balik PTPTN antara 10 hingga 15 peratus bermula 1 November hingga 30 Apil 2022.

RM6.6 bilion juga telah diperuntukkan untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

RM4.8 diperuntuk bagi melaksanakan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), jamin penyediaan 600,000 ribu peluang pekerjaan.

Kerajaan juga akan memberikan insentif 20 hingga 30 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif berkerja.

Turut diberikan ialah insentif 30 hingga 40 peratus daripada gaji bulanan RM1,200 ke atas kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU, Orang Asli dan banduan.

Kerajaan juga menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan swasta yang ditawarkan menerusi inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).

Juga, RM1.1 bilion diperuntuk untuk pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan sasaran 220,000 pelatih.

Pelepasan cukai bagi perbelanjaan hadir kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 hingga 2023. – SB