PEMEGANG lesen e-hailing atau p-hailing di negara ini mesti mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperbaharui lesen mereka.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata cadangan pra syarat itu sedang diteliti menerusi kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) demi memastikan keselamatan pekerja di sektor ekonomi gig atau lejang sentiasa dilindungi.
Selain itu, katanya, dasar caruman PERKESO untuk pekerja di sektor gig akan diwajibkan secara berperingkat bagi memberikan peluang kepada penggiat industri melakukan penyelarasan berkaitan.
Hal ini kerana sektor gig merekodkan kadar musibah ketika kerja yang sangat tinggi, terutama kemalangan jalan raya, justeru aspek perlindungan sosial harus diperkukuhkan.
“Buat masa ini, caruman tahun pertama dibiayai secara padanan, dengan 70 peratus menerusi subsidi daripada kerajaan, manakala selebihnya oleh pekerja.
“Saya berharap Kementerian Kewangan (MOF) menerusi pembentangan Belanjawan 2022, esok bersetuju untuk terus berikan subsidi bagi tahun pertama pelaksanaan dasar ini atau sekurang-kurangnya memperuntukkan caruman padanan yang sesuai sebagai ‘soft landing’ (pelaksanaan berperingkat).
“Pekerja gig juga diharap sudah berdaftar untuk teruskan caruman selepas tamat tempoh subsidi kerana jumlah yang dibayar amat rendah jika dibandingkan dengan manfaat apabila berlaku musibah,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Sambutan Deepavali dan pelancaran syiling peringatan serta album koleksi setem, sempena jubli emas PERKESO, di ibu negara, di sini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.