SEBANYAK 47 kes pemujaan salah yang bertentangan dengan ajaran Islam dilaporkan sejak Januari 2020 hingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata daripada jumlah berkenaan, 33 kes perbuatan ajaran salah itu dilaporkan sepanjang tahun lalu, manakala 14 kes dari Januari hingga September tahun ini.
Beliau berkata, antara langkah yang diambil kerajaan bagi mengatasi isu berkaitan penyelewengan akidah umat Islam itu adalah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam aspek penyelidikan berkaitan ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki mengeleweng daripada ajaran Islam.
“Kita juga mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup dengan kumpulan yang terbabit.
“Kita turut melaksanakan kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI),” katanya pada sesi pertanyaan bagi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Pari) yang bertanya mengenai jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini serta usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan bagi bagi mencegah penyebaran ajaran sesat. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.