Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Audit: permohonan bantuan penyelenggaraan sekolah perlu melalui JPN -

Audit: permohonan bantuan penyelenggaraan sekolah perlu melalui JPN

PENYALURAN dan penggunaan sumbangan bantuan penyelenggaraan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) perlu melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Daerah (JPD) dan tidak boleh dikemukakan secara terus oleh pihak sekolah bagi memastikan penilaian teknikal dan kos munasabah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020 permohonan pada tahun tersebut tidak dibuat melalui JPN bertujuan untuk mempercepatkan proses kelulusan dan penyaluran sumbangan bantuan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan kerana kos perolehan melebihi kos yang sepatutnya.

“Semakan Audit terhadap 43 sampel mendapati kesemua permohonan sumbangan bantuan penyelenggaraan yang dikemukakan oleh sekolah tidak melalui JPN dan proses penilaian teknikal tidak dilaksanakan oleh JPN. 

“Penilaian teknikal dan kajian pasaran tidak dibuat menyebabkan berlaku perbezaan harga berjumlah RM1.25 juta antara harga perolehan berbanding anggaran harga semasa,” menurut laporan yang dikeluarkan pada Rabu.

Selain itu, laporan berkenaan juga mendapati sejumlah RM130,000 dibayar bagi kerja yang tidak dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kampung Baru, RM390,000 bagi skop kerja yang tidak diluluskan di tiga SBK serta sejumlah RM410,000 bagi kerja yang tidak sempurna atau tidak menepati spesifikasi di dua SBK.

Laporan itu turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak dengan teliti permohonan bagi memastikan hanya skop kerja penyelenggaraan yang dibenarkan dalam garis panduan sahaja yang boleh diluluskan selain mendapat kelulusan khas Bahagian Pengurusan Aset KPM. 

Syor lain termasuk menambah baik garis panduan sedia ada dan meningkatkan pemahaman pegawai yang terlibat dan pihak berkepentingan bagi menjamin pengurusan sumbangan yang lebih teratur bagi memudahkan pemantauan dan mendapatkan nilai terbaik.

Audit juga mengesyorkan agar KPM  memastikan mekanisme pemantauan yang ditetapkan, dikemukakan oleh pihak sekolah bagi tujuan penilaian berterusan terhadap pelaksanaan projek. – Bernama