[VIDEO]Tempat percutian ala-ala Switzerland di Denai Kabus

SEJAK pembukaan sektor pelancongan yang diumumkan sebelum ini, orang ramai berpusu-pusu untuk mencari tempat percutian yang menarik.

Oleh itu, Denai Kabus di Perak mula tular di media sosial dan menjadi tarikan kerana tempatnya yang menyerupai suasana seperti di Switzerland.

Bagaimanapun, Pemilik Denai Kabus, Ahmad Termizi Abdul Hamid, 61, yang juga merupakan pesara guru menyatakan bahawa beliau sendiri tidak mengetahui tentang Denai kabus yang disamakan dengan Switzerland dan tular di Twitter.

“Saya pun tidak mengetahui tentang Switzerland memandangkan saya pun tidak pernah ke sana sebab itulah saya pun tak reti nak buat persamaan Denai Kabus dan Switzerland,” katanya ketika dihubungi SatuBerita

Namun, beliau bersyukur diatas ‘kuasa viral’ yang telah menaikkan nama Denai Kabus dan membuatkan permintaan pelanggan semakin bertambah.

Menurut beliau, Denai Kabus merupakan tempat yang diliputi oleh Kabus dan cuaca yang sejuk jadi mungkin itulah sebabnya tempat itu disamakan dengan Switzerland.

Selain itu, Ahmad Termizi juga menyatakan bahawa Denai Kabus juga mempunyai pelbagai aktiviti yang menarik seperti memancing, memandu kenderaan ATV, berkayak, menunggang kuda, mandi manda di sungai, pakej mendaki Gunung Kenderong atau Kerunai dan banyak lagi.

“Ada juga anak-anak yang menangis kerana terlalu seronok di Denai Kabus dan tak nak balik,” katanya.

Beliau juga sempat menyatakan bahawa harga bilik di Denai Kabus hanyalah RM 150 untuk satu malam.

“Saya tak kira walaupun waktu puncak saya tetap dengan harga yang sama, harga kasih sayang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Termizi menyatakan bahawa Denai Kabus telah ditempah sepenuhnya sehingga hujung tahun ini kerana ‘kuasa viral’ yang telah menaikkan nama Denai Kabus.

Kepada orang ramai yang berminat untuk menempah bilik di Denai Kabus, anda boleh layari laman web rasmi Denai Kabus di https://denaikabus.checkfront.com/reserve/?. – SB