SATU daripada dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir beroperasi di Sepang, Selangor ditutup bermula jam 10 malam tadi.
Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sepang, Leftenan Mohamad Amin Nasrin Ghazali berkata, penutupan PPS di Sekolah rendah Agama Kampung Giching, Sepang yang ditutup bermula 10 malam tadi adalah ekoran keadaan banjir di kawasan terlibat sudah surut.
PPS Sekolah rendah Agama Kampung Giching itu menempatkan seramai 25 mangsa banjir ketika beroperasi.
Manakala Balai MPKK Kampung Giching yang sebelum ini menempatkan seorang mangsa banjir yang menjalani kuarantin setalah didapati positif Covid-19 juga telah ditutup 8 pagi tadi.
Sementara itu di Kedah, dua lagi PPS dibuka bagi menempatkan 41 mangsa banjir yang terdiri daripada 12 keluarga di daerah Baling.
Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah, Saifuddin Abdullah berkata, kedua-dua PPS berkenaan mula beroperasi malam tadi ekoran hujan lebat sejak petang semalam.
Katanya, Sekolah Kebangsaan Titi Gantung, Baling telah dijadikan PPS dan dibuka sejak 9 malam untuk menempatkan 29 mangsa daripada 10 keluarga.
Manakala PPS Sekolah Kebangsaan Bandar yang menempatkan sebanyak 12 orang mangsa daripada dua keluarga dibuka pada jam 12 tengah malam.
“Sementara itu di daerah Pendang pula, mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah kekal seramai 140 mangsa daripada 36 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keadaan cuaca pada pagi ini baik, namun keadaan diramalkan berubah pada sebelah petang apabila hujan dijangka turun di beberapa kawasan di negeri itu.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.