Komponen PN sepakat bergerak sebagai satu unit dalam PRN Melaka

KESEPAKATAN dan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) terus terserlah dengan persetujuan semua pihak untuk bergerak sebagai satu unit dalam gerak kerja, pengemblengan jentera dan identiti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan itu telah dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada malam Isnin.

Menurut beliau, tiga perkara pokok telah diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat khas mengenai hal-hal berkaitan Pilihan PRN Melaka itu.

Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Parti PN berkenaan telah dihadiri oleh semua parti komponen iaitu Bersatu, Pas, StarSabah, SAPP dan Gerakan.

Jelas beliau, paling utama, semua komponen sepakat untuk menawarkan calon-calon dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Melaka dan menggunakan satu logo iaitu lambang PN dalam pilihan Raya berkenaan.

“Majlis Tertinggi juga telah memutuskan semua parti-parti komponen untuk menggerakkan sepenuhnya jentera parti masing-masing dan menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi memenangi kepercayaan rakyat Melaka.

“PN sentiasa berpegang kepada aspirasi memelihara perpaduan, memastikan pentadbiran berintegriti dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menyentuh mengenai pembahagian kerusi, Muhyiddin menjelaskan perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi parti PN.

PN dijangka bertanding semua 28 kerusi dalam PRN tersebut susulan Umno sebelum ini dilaporkan mahu bertanding secara berpendirian menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Menariknya dalam PRN kali ini, buat pertama kalinya, Pas akan bertanding dalam pilihan raya tanpa menggunakan lambang bulan parti tersebut. – SB