YANG DIPERTUA Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini mengesahkan bahawa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa tidak mengelirukan Dewan Rakyat berkenaan isu dasar kabotaj.
Pengesahan dibuat menerusi surat Azhar kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang turut dihantar kepada kedua-dua menteri bertarikh 22 Oktober lalu yang dikongsi Annuar menerusi laman sosial miliknya.
Azhar dalam surat berkenaan berkata, beliau telah meneliti penyata rasmi (hansard) perbahasan pada 30 September, jawapan bertulis Menteri Komunikasi dan Multimedia bertarikh 5 Oktober serta penjelasan kedua-dua menteri di atas.
Daripada penelitian itu, beliau mendapati Menteri Pengangkutan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) semasa menjawab soalan diajukan.
“Intipati jawapan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan ialah dasar pengecualian kabotaj hanya terpakai kepada kerja-kerja pembaikan dan bukannya pemasangan kabel di dasar laut dan oleh itu ia tidak terpakai kepada Projek Aprikot (yang merupakan projek pemasangan).
“Oleh itu, beliau berpendirian pelaksanaan Dasar Kabotaj tidak wajar dipersalahkan sebagai satu-satunya faktor apabila Malaysia tidak terlibat dalam projek tersebut.
“Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Multimedia pula dalam jawapan beliau menerangkan Malaysia tidak tersenarai dalam projek itu atas keputusan syarikat berkenaan dan memandangkan Dasar Kabotaj yang masih belum selesai. Dasar Kabotaj itu hanya diputuskan oleh Kabinet pada 8 Oktober 2021.
“Oleh itu, saya dapati kedua-dua kenyataan tersebut tidak bercanggah atau mengelirukan,” katanya menerusi surat itu.
Azhar menjelaskan, beliau juga perhatikan bahawa angka kehilangan pelaburan yang dikatakan dalam jumlah RM12 hingga RM15 bilion itu hanya anggaran dan Menteri Pengangkutan telah memilih untuk tidak bersetuju dengannya dan memberikan pendapat beliau mengenai perkara tersebut.
Justeru, atas sebab-sebab tersebut, katanya, beliau menolak usul daripada Guan Eng dan Steven untuk merujuk kedua-dua menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan mengelirukan Dewan Rakyat.
Baru-baru ini, Azhar mengarahkan Ka Siong membuat penjelasan berkenaan jawapan lisannya berkaitan isu dasar kabotaj yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.
Hal ini kerana jawapan Ka Siong pada 30 September lalu dianggap bercanggah dengan jawapan bertulis Annuar berkaitan isu sama pada 5 Oktober lalu.
Azhar berkata, penjelasan itu adalah susulan usul dikemukakan Guan Eng, untuk merujuk Ka Siong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan mengelirukan Dewan Rakyat. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.