PEMERGIAN Allahyarham Mamat Khalid masih dirasai bukan sahaja dalam kalangan orang industri tetapi di seluruh negara.
Bagi mengenang kembali sutradara yang baru sahaja meninggal dunia semalam, Astro akan menyiarkan kembali 19 karya-karya Mamat menerusi Astro On Demand bermula hari ini.
Antara filem dan drama yang bakal ditayangkan menerusi slot Mamat Khalid Dalam Kenangan itu termasuklah Husin Mon & Jin Pakai Toncit, Hantu Kak Limah, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rimba Bara Kembali dan banyak lagi.
Selain itu beberapa filem komedi Allahyarham turut ditayangkan seperti Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Husin, Moon & Jin Pakai Toncit, Amir dan Lokman Pergi Ke Laut, 16 Puasa, 17 Puasa dan Rock Oo!.
Bagi yang mengikuti kerjaya seni adik kepada kartunis terkenal Datuk Lat ini pasti mengetahui pelbagai naskhah garapannya sentiasa menjadi perhatian masyarakat sejak dahulu lagi.
Selain memberikan peluang kepada pelakon-pelakon ‘lain daripada yang lain’, ramai yang telah ‘dilahirkan’ oleh Mamat termasuklah watak Pak Jabit, Yeh Sekupang, Husin, Yah Kucai dan ramai lagi.
Beberapa drama bersiri dan telefilem juga turut akan ditayangkan semula seperti Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya, Kampong Pisang Bersiri-Siri dan beberapa program kendaliannya.
Terdahulu, Mamat meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam ambulan menuju ke Hospital Slim River, Perak. Jenazah dikebumikan pada hari yang sama di Ipoh, Perak.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.