[VIDEO] ADUN Kota Kemuning tengking kakitangan JPS hanya mahu tunjuk ‘hero’ – CUEPACS

TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, V. Ganabatirau memaki hamun pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana tidak berpuas hati dengan isu banjir di Taman Sri Muda, Selangor, tular di media sosial.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, pihak mereka merasa terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh ADUN DAP itu yang disifatkan sangat tidak profesional dalam tugasnya.

“CUEPACS menganggap tindakan yang dilakukan oleh ADUN Kota Kemuning yang mengeluarkan kata-kata kesat serta suara yang tinggi itu sangat keterlaluan seolah-olah merendahkan penjawat awam yang sedang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Adnan, penjawat awam yang terbabit dalam kejadian itu tidak diberi peluang untuk menjelaskan permasalahan yang berlaku.

“Sebagai anggota pentadbiran yang turut bersama terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri, beliau sewajarnya menyelesaikan permasalahan yang timbul menerusi rundingan secara terus dengan JPS Negeri.

“Tindakan menularkan video tersebut seolah-olah mahu menunjukkan diri beliau sebagai seorang ‘hero’ dengan meletakkan semua kesalahan kepada penjawat awam tanpa memberi peluang sebarang penjelasan diberikan oleh kakitangan JPS yang terlibat,” tegasnya.

Justeru itu, menurut Adnan, CUEPACS mendesak ADUN Kota Kemuning itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam terutama kakitangan JPS yang terlibat. 

Beliau turut berkata, penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri seharusnya bekerjasama dengan baik bagi menyelesaikan permasalahan rakyat dan bukannya bertindak menyalahkan satu sama lain. 

“Sebagai kakitangan awam, setiap penjawat awam telah diberi latihan yang mencukupi untuk berhadapan apa jua keadaan serta memiliki tahap profesionalisma yang tinggi. 

“Kakitangan awam juga sentiasa mematuhi arahan Kerajaan walau parti mana memerintah kerana keutamaan kakitangan awam adalah melaksanakan tugas sebaik mungkin demi kebaikan rakyat dan negara,” ujar Adnan. – SB