Setiap warga ada tempat dalam Keluarga Malaysia – Sultan Nazrin

SETIAP warganegara perlu diberikan keyakinan supaya ada tempat dalam keluarga besar dalam hasrat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.

Demikian titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara, hari ini.

Sultan Nazrin turut menyeru supaya menghayati semangat Keluarga Malaysia yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Titah baginda, semua pihak perlu mengamalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan begitu juga menghargai perbezaan pendekatan serta kaedah agar tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara serta warga.

Sultan Nazrin bertitah, perkataan keluarga mempunyai konotasi saling membantu, saling menghormati, saling berkunjung, saling berinteraksi, saling berhubung, saling berdialog, saling memberi dan saling menerima serta saling bermaaf-maafan dalam suasana mesra dan berkasih sayang iaitu komponen-komponen yang melukiskan keharmonian.

“Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikebari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai.

“Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar. Menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana,” titah Sultan Nazrin.

Titah Sultan Nazrin, masyarakat Melayu turut mengutamakan ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan seperti yang terserlah dalam bidalan, ‘Biduk berlaku kiambang bertaut’, Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga’ dan Air dicencang tidakkan putus’.

“Semangat kekeluargaan turut membentuk budaya menghargai orang-orang terdahulu yang pernah berjasa dan budaya tidak bersifat kacang lupakan kulit,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, amalan musyawarah dan syura yang merupakan amalan Rasulullah SAW dan sangat dianjurkan Islan merupakan budaya lazim diamalkan dalam keluarga untuk mencapai kata sepakat.

Titah baginda, bermusyawarah dan bersyura juga merupakan tradisi dan amalan takhta serta kerajaan Raja-raja Melayu terutama ketika menghadapi situasi yang belum ada duluan.

“Dalam semangat bermusyawarah dan bersyura itulah Yang di-Pertuan Agong daripada masa ke masa mempersilakan kehadiran Raja-raja Melayu berangkat ke Istana Negara pada waktu baginda berhasrat mendapatkan nasihat dan pandangan.

“Apatah lagi jika sesuatu urusan itu boleh menyentuh kuasa Raja Pemerintah di negeri,” titah Sultan Nazrin. – SB