Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kementerian Pendidikan segerakan baik pulih sekolah di Sri Aman -

Kementerian Pendidikan segerakan baik pulih sekolah di Sri Aman

BEBERAPA kemudahan dan infrastruktur uzur di beberapa sekolah di Sri Aman, Sarawak akan segera dibaik pulih bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik untuk guru dan pelajar.

Itu antara jaminan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang meninjau satu sekolah rendah dan dua sekolah menengan sekitar Sri Aman, iaitu SK Bakong, SMK Simanggang dan SMK Balai Ringin, hari ini.

Menurut Radzi Jidin, SK Bakong merupakan sekolah asrama harian dengan jumlah murid seramai 146 orang, termasuk 13 murid prasekolah dan telah beroperasi lebih 60 tahun serta sebahagian besar bangunan sekolah telah usang.

“Beberapa kemudahan di sekolah seperti kipas yang rosak akan digantikan dengan segera. Ini akan membolehkan anak-anak di sekolah ini dan juga yang tinggal di asrama dapat belajar dengan lebih selesa,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Dalam masa yang sama, Radzi berkata, projek pembinaan gantian penuh melibatkan bilik darjah, asrama dan rumah guru bagi SK Bakong telahpun diluluskan.

“Kami akan usahakan pelaksanaan projek ini disegerakan agar warga SK Bakong dapat menggunakan sekolah baharu yang lebih selesa secepat mungkin,” katanya.

Tambah Radzi, semasa tinjauan di SMK Simanggang, beliau sempat melihat pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka, khususnya bagi murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, memandangkan ia merupakan hari persekolahan.

“Terdapat 7 murid Program Pendidikan Khas Integrasi turut hadir ke sekolah bagi mengikuti PdP secara bersemuka. 

Guru dan murid kelihatan begitu  gembira serta teruja dapat kembali melaksanakan PdP secara bersemuka,” katanya.

Sementara itu menurut beliau, dalam aspek penambahbaikan fasiliti sekolah SMK Simanggang, penyerahan satu blok pejabat yang baharu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Dewan sekolah yang telah berusia hampir 50 tahun akan diusahakan untuk pengantian bumbung dan pendawaian semula,” katanya.

Bagaimanapun, sekolah kedua yang ditinjau adalah SMK Balai Ringin, sekolah dengan kapasiti seramai 1,494 murid.

Selain meninjau infrastruktur sekolah, Radzi juga bertemu dan bertanya khabar dengan 36 murid Tingkatan 6 Semester 2 dan 267 murid Tingkatan 5 yang telah memulakan sesi PdP secara bersemuka sejak awal Oktober lalu. 

“Pembukaan semula sekolah secara bersemuka telah memberi ruang untuk  anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan STPM dan SPM ini membuat persiapan rapi sebaiknya,” ujarnya.

Untuk penambahbaikan di sekolah itu pula, pembinaan blok asrama baharu SMK Balai Ringin sedang giat dilaksanakan dan Radzi berkata, kemudahan itu pastinya akan memberi lebih keselesaan kepada murid asrama.

Semalam, Radzi melakukan lawatan kerja ke lima sekolah di Sri Aman dan Lubok Antu, bagi meninjau keadaan infrastruktur serta pengoperasian sekolah di kawasan berkenaan.

Ia adalah sebahagian daripada pemantauan dan libat urus pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan di Sarawak, yang bermula sejak Sabtu. – SB