UMNO masih belum memuktamadkan keputusan berhubung kerjasama dengan parti-parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Memetik laporan Bernama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan berhubung perkara tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Khamis ini.
“(Soal) jentera ini dah muktamad, cuma (soal) calon belum muktamad, dengan siapa kita nak berunding (bekerjasama) belum muktamad.
“Dua perkara ini sahaja belum muktamad, yang lain dah muktamad,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak di Sungai Udang di Melaka, hari ini.
Kenyataan Ahmad itu dilihat tidak konsisten penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa UMNO telah memuktamadkan keputusan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRN Melaka.
Seperti yang didakwa oleh Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, ramai pemimpin dan akar umbi UMNO mahu parti tersebut menjalinkan kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.
Sekiranya dakwaan Mohamed Azmin itu benar, adakah Ahmad Zahid berani mengambil risiko membuat keputusan secara bersendirian apabila menolak pandangan akar umbi tentang kerjasama dengan parti-parti lain?
Tambahan pula, setiap keputusan dalam UMNO mesti dibuat melalui MT terlebih dahulu selepas dibincangkan semasak-masaknya dalam mesyuarat.
Memandangkan tarikh penamaan calon yang dijadualkan pada 8 November ini semakin hampir, keputusan berhubung kerjasama tersebut perlu dicapai dalam mesyuarat MT Khamis ini.
Walaupun Ahmad Zahid telah menyatakan secara terbuka pendiriannya menolak kerjasama dengan Bersatu, ahli-ahli MT yang masih berfikiran rasional seharusnya bersikap berani menyuarakan pandangan yang sebaliknya.
Sekiranya semua ahli MT UMNO bersikap seperti pak turut, mereka juga akan dipertanggungjawabkan jika Melaka terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi.
Ambillah iktibar daripada tragedi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan UMNO hilang kuasa semata-mata kerana pucuk pimpinan takut untuk mengambil pendirian berbeza dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ingatlah bahawa UMNO merupakan parti milik orang Melayu dulu, kini dan selama-lamanya. Presiden tidak mempunyai kuasa veto dan sekiranya pendirian beliau merugikan parti, ia patut disanggah. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.