PENGOPERASIAN semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Johor dan Terengganu akan mengikut ketetapan operasi dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 7 November depan.
Ketetapan baharu itu selaras dengan peralihan Johor dan Terengganu ke Fasa 4 PPN mulai esok seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jumaat lalu.
Walau bagaimanapun, KPM dalam kenyataan memaklumkan, sekolah kerajaan di kedua-dua negeri tersebut hanya akan memulakan operasinya pada 8 November kerana tarikh 7 November itu merupakan cuti tambahan sempena perayaan Deepavali.
Menurut KPM, penetapan operasi itu turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 sekolah rendah dan Tingkatan 3 serta Tingkatan 4 sekolah menengah.
Namun begitu, KPM memberitahu, institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM beroperasi mengikut takwim masing-masing.
“Kehadiran murid Tahap 2 sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi Johor serta Terengganu pula akan bermula pada 14 November.
“Ia adalah seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN.
“Institusi pendidikan bawah KPM ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KPM memberitahu, pengoperasian institusi pendidikan akan terus beroperasi berdasarkan ketetapan Fasa 3 pada 25 Oktober.
Katanya, ia selaras dengan keputusan KPM bahawa pengoperasian mengikut fasa baharu adalah selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa berkenaan.
“Pengoperasian Fasa 3 PPN ini meliatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.
“Ia juga terpakai bagi Tingkatan 6 Semester dua, prauniversiti sekolah sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya, sekolah harian dan sekolah swasta; International Baccalaureate Diploma serta kelas peperiksaan antarabangsa,” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.