SEBARANG aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dibenarkan mulai esok sehingga 27 November depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketetapan itu merangkumi penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes mendadak.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan pilihan raya yang akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara susulan pelaksanaan PRN Melaka pada 20 November depan.
Khairy menegaskan, larangan itu juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 yang terkini.
“Sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Memandangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes baharu, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti.
“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy menegaskan semua pihak dikehendaki supaya mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan umumkan SOP PRN Melaka dalam masa terdekat.
“Namun, SOP PRN hanya terpakai waktu kempen bermula. KKM risau sebelum itu ada banyak majlis politik yang tidak mematuhi SOP,” katanya dalam catatan di Twitter miliknya.
18 Oktober lalu, SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka Ke-15 adalah pada hari Sabtu, 20 November depan.
Ia ditetapkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh iaitu dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu.
Proses penamaan calon pula ditetapkan pada hari Isnin, 8 November manakala hari mengundi awal pada 16 November depan.
Tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 8 November sehingga pukul 11.59 malam, 19 November. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.