JUMLAH harian kes positif COVID-19 di United Kingdom (UK) semalam meningkat kepada lebih 50,000, kali pertama sejak Julai lalu, namun kerajaan sekali lagi menolak saranan untuk menguatkuasakan sekatan pergerakan.
Menurut laporan AFP, statistik terkini menunjukkan UK merekodkan 52,009 kes baharu, tertinggi sejak 17 Julai.
Setakat ini 79 peratus populasi berusia 12 tahun ke atas lengkap menerima vaksin dan jumlah kemasukan ke hospital masih rendah.
Keadaan itu mendorong individu yang menolak vaksin untuk mendapatkan vaksin dan mendesak mereka yang berusia lebih 50-an dan golongan rentan secara klinikal untuk menerima tawaran vaksin penggalak ketiga.
Mereka juga digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin selesema.
Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid pada Rabu menegaskan belum tiba masanya untuk menguatkuasakan semula langkah seperti pemakaian pelitup muka dalam premis.
“Kes meningkat dan boleh mencapai 100,000 sehari. Pandemik ini belum berakhir. Kami meneliti data tetapi kami tidak akan melaksanakan pelan B pada saat ini,” tegasnya.
Perdana Menteri, Boris Johnson turut menolak saranan pegawai kesihatan untuk menghentikan penularan dalam kalangan kontak rapat berikutan kebimbangan peningkatan kemasukan ke hospital yang turut mengendalikan kes jangkitan pernafasan lain sepanjang musim sejuk.
“Kami memantau kes dengan teliti setiap hari. Jumlah jangkitan adalah tinggi tetapi kami berada dalam parameter yang diramalkan. Kami kekal dengan pelan asal ,” katanya.
Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK, sebanyak 1,366.8 kes bagi setiap 100,000 orang berusia 10 hingga 19 tahun dicatatkan pada minggu hingga 17 Oktober – meningkat daripada 1,134.9 dalam tujuh hari sebelumnya.
Kadar bagi kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun adalah 719.2, meningkat daripada 585. Kedua-dua kadar itu adalah yang tertinggi sejak data pertama kali dikumpulkan pada Oktober tahun lalu.
Angka kematian di Britain kini mencecah 139,146, kedua tertinggi di Eropah selepas Russia .
Jumlah kes di negara ini adalah yang kedua selepas Amerika Syarikat, menurut Universiti Johns Hopkins. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.