Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muktamad, tiada kerjasama UMNO dengan Bersatu - Zahid -

Muktamad, tiada kerjasama UMNO dengan Bersatu – Zahid

UMNO telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu telah diputuskan oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

“Tidak timbul isu UMNO cepat atau lambat membuat keputusan (untuk bekerjasama). Sebaliknya perkara itu sudah dimuktamadkan pada perhimpunan lalu yang memutuskan bahawa UMNO tidak pernah akan bekerjasama dengan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Noktah!,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, di Bukit Katil, malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ketika ditanya, sama ada UMNO tidak akan bekerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak, Ahmad Zahid berkata, “saya tidak nampak ke arah itu”.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini yang dilaporkan berkata gabungan parti itu tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan keputusan kerjasama politik daripada UMNO untuk menghadapi PRN Melaka.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata, PN yang menggabungkan BERSATU, PAS dan GERAKAN itu bersedia untuk bertanding bersendirian sekiranya UMNO dan BN tidak memberi kata putus mengenai perkara itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mempunyai potensi besar untuk memenangi PRN Melaka pada 20 November ini.

“Kita merasakan potensi itu (kemenangan) sangat besar berdasarkan kepada permasalahan pihak yang berada di sebelah sana (pembangkang) yang tentunya mempunyai isu tersendiri.

“Tetapi kemenangan kita bukannya menunggang permasalahan orang lain. Kita bersandarkan kebolehan UMNO untuk mentadbir semula kerajaan negeri,” katanya.