Kerana Covid-19, N. Sembilan tarik diri dari Piala Malaysia

DEK kerana Covid-19, pasukan bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa reda menarik diri daripada kejohanan Piala Malaysia musin ini.

Apa lagi yang boleh dilakukan oleh skuad Hobin Jang Hobin itu apabila 20 pemain serta empat pegawai pasukan itu dijangkiti COVID-19.

NSFC dalam kenyataannya sebentar tadi menjelaskan, situasi itu membuat mereka tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Malaysia 2021.

Kejohonan Piala Malaysia bakal bersambung minggu depan setelah berehat untuk perlawanan antarabangsa.

Kenyataan itu juga menyebut, pegawai dan pemain terlibat kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah dengan pengawasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ujian pengesanan COVID-19 secara berterusan sedang dilakukan bagi kontak rapat para pemain dan pegawai NSFC yang terlibat.

“Demi menjaga keselamatan semua pihak serta saranan doktor pasukan, pihak NSFC ingin memohon kemaafan kepada penyokong kerana hal ini menyebabkan pasukan tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia musim ini,” kata kenyataan itu.

NSFC yang juga juara Liga Premier 2021 berada dalam kumpulan yang sama dengan Kedah, Melaka United dan Kelantan United.

NSFC juga memaklumkan hal itu turut menyebabkan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan dua hari lepas dibatalkan.

“Pihak NSFC berharap agar para penyokong memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan pemain dan pegawai pasukan,” kata kenyataan itu yang dikongsikan di Facebook NSFC.

Situasi semasa COVID-19 di Negeri Sembilan menyaksikan sedikit peningkatan kebelakangan ini.

Malah kadar kebolehjangkitan COVID-19 Negeri Sembilan berada pada 1.0 semalam, kedua tertinggi di seluruh negara selepas Kuala Lumpur. – SB