PROSES pemulihan negara bukan satu perkara yang mudah dan memerlukan penglibatan bersama seluruh rakyat Malaysia.
Justeru, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam merangka perancangan pemulihan, perlu sentiasa mendengar, mengambil kira dan menimbang segala pandangan serta dan idea setiap lapisan masyarakat di Malaysia.
Menurut beliau, Malaysia tidak boleh sekadar pulih daripada pandemik ini, tetapi juga perlu menjadi terbaik dalam segala apa yang dilakukan.
Tegas beliau, amat penting untuk kerajaan mengambil kira aspek pemulihan dari segi kemasyarakatan, tatahidup dan rohani supaya pemulihan yang dijalankan lebih sekata dan bermakna serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Tidak cukup bagi Malaysia untuk menjadi baik kerana untuk memulihkan negara kita semua mesti menjadi yang terbaik dalam apa sahaja yang kita lakukan.
“Saya juga mengingatkan, proses pemulihan seperti mana dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip tiada kelompok yang tertinggal,” kata beliau kepada media selepas mengadakan sesi dialog bersama pemain-pemain industri sektor ekonomi dan sosial di Melaka pada Khamis.
Muhyiddin dalam masa sama menyatakan, perjumpaan yang diadakan bertujuan untuk mendengar pandangan dan mengumpul aspirasi proses pemulihan negara menggunakan pendekatan seluruh negara.
Selain itu pertemuan tersebut juga menjadi platform untuk mendengar secara langsung rintihan dan keresahan penggerak-penggerak industri seterusnya mencari penyelesaian bersama.
Dalam perjumpaan tersebut pemain-pemain industri di negeri ini telah membangkitkan isu berkaitan kekangan tenaga kerja dan pembiayaan bagi membuka semula perniagaan mereka.
“Kedua-dua isu ini sedang diteliti oleh dua jawatankuasa khas yang ditubuhkan semasa mesyuarat MPN yang lepas dan insyaallah jawatankuasa-jawatankuasa ini akan membentangkan laporan dalam jangka masa sebulan.
“Dalam pertemuan dengan penggerak- penggerak sektor sosial pula, saya menekankan pemulihan negara perlu holistik dan tidak hanya tertumpu kepada pemulihan ekonomi semata-mata,” jelas beliau.
Muhyiddin menambah, prinsip ini bukan sekadar slogan dan laungan, tetapi merupakan nilai yang amat penting untuk dijadikan amalan demi mencapai pemulihan yang seimbang dan menyeluruh. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.