Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Hanya bincang isu Covid-19, bukannya bubar DUN Sarawak - Abang Johari -

[VIDEO] Hanya bincang isu Covid-19, bukannya bubar DUN Sarawak – Abang Johari

KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan sesi beliau menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12) tetapi isu berkait COVID-19.

Abang Johari bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai pertemuan tersebut.

“Ya, saya menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan bertanya berhubung perkara kecemasan COVID-19…itu sahaja, tidak ada apa-apa berhubung pilihan raya negeri,” katanya ketika diminta mengulas laporan media tempatan yang mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan hari ini.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Agensi Pembangunan Sri Aman di Kuching, Sarawak, hari ini.   

Ketika ditanya mengenai jangkaan bila pilihan raya negeri akan diadakan, Abang Johari berkata perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.  

“Bukan kuasa saya, kuasa (Yang di-Pertuan) Agong… kalau Agong bertitah untuk pilihan raya, pilihan raya lah. Saya tidak boleh memberitahu secara terperinci sebab itu bukan kuasa saya,” tegasnya. 

Semalam media tempatan melaporkan ada kemungkinan DUN Sarawak dibubar hari ini (21 Okt 2021) bagi memberi laluan untuk PRN12. 

Ogos lalu, perintah darurat dikuatkuasakan di Sarawak bagi membendung penularan COVID-19 susulan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak sekali gus menyebabkan PRN12 tidak boleh diadakan meskipun tempoh DUN tamat Jun lepas.

Perintah Darurat di Sarawak dijadual tamat pada 2 Februari 2022 – BERNAMA