SEMBILAN buah kampung di sekitar Dengkil, Selangor terjejas teruk akibat banjir kilat semalam dan penduduk mula dipindahkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dengkil, Selangor bermula malam tadi.
Antara kawasan terjejas banjir kilat adalah Kampung Sungai Merab Jaya, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam, Taman Delima dan Taman Baiduri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, tiga PPS itu mula dibuka malam tadi di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sekolah Agama Rendah Agama (SRA) Dengkil dan SRA Kampung Dato Ahmad Razali.
Katanya, hujan lebat sejak jam 1 tengah hari semalam menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan di daerah itu.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang menggerakkan seluruh aset dan anggota bagi membantu penduduk yang terkesan,” katanya, hari ini.
Sementara itu, di Taman Dataran Abadi, Kampung Labu Lanjut, sebanyak 100 rumah dilanda banjir kilat akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.
Jurucakap bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang semalam bagi membantu memindahkan penduduk.
Katanya, seramai 200 penduduk terjejas diarahkan berpindah dan berkumpul di Surau Abadi di taman berkenaan.
“Penduduk juga diarahkan membuat ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan kerana terdapat seorang penduduk yang positif.
“Kesemua yang menjalani saringan akan dipindahkan ke PPS di kawasan berkenaan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.